Posted on Leave a comment

Rumusan Kaji Selidik Kelab Akar Umbi Bhgn-1

Alhamdulillah. 27 wakil dari kelab-kelab bola sepak akar umbi di seluruh Malaysia telah bekerjasama dalam kaji selidik. Tidak dinafikan, berhempas pulas juga untuk mendapatkan kerjasama dari yang berkenaan.

Terima kasih diucapkan kepada semua.

Berikut adalah peratusan responden mengikut negeri. Sebanyak 9 kelab dari negeri Perak yang mengungguli carta. Manakala 1 dari negeri Pahang, Negeri Sembilan dan juga Kedah.

Rata-rata kelab masih tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Registry Of Societies) mahupun persatuan bola sepak daerah dan negeri. Persoalannya, adakah proses pendaftaran menyulitkan? Bagaimana pula persatuan bola sepak daerah dan negeri ingin menyelia kelab-kelab akar umbi jika tiada rekod? Adakah kelab-kelab akar umbi diberikan perhatian dan bimbingan yang sepatutnya?

Adakah kelab-kelab akar umbi diberikan perhatian dan bimbingan yang sepatutnya?

Berikut menunjukkan bilangan akademi pro di Malaysia sangat sedikit. Seperti yang kita tahu, hanya beberapa kelab pasukan yang mempunyai akademi pro seperti JDT, Felda dan AMD. Tahniah diucapkan kepada mereka kerana mengambil langkah bijak.

Selebihnya adalah kelab persendirian yang memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat-bakat sebelum digilap ke peringkat yang lebih tinggi. Ini bermakna kelab-kelab akar umbilah faktor utama dalam memajukan bola sepak negara.

85% kelab hanya menumpukan kepada jantina lelaki manakala hanya 14.8% yang memberi peluang kepada jantina perempuan untuk sama-sama terlibat dalam sukan bola sepak. Apakah kekangan yang dihadapi oleh kelab-kelab dalam hal ini?

Bagaimana pula dengan kekerapan dan tempoh latihan yang dijalankan? Adakah ia mencukupi atau berlebihan? Adakah kekerapan latihan diselangselikan dengan rehat yang cukup?

Berdasarkan kaji selidik, banyak kelab hanya menjalankan latihan pada hujung minggu. Manakala hanya akademi pro dan kelab sekolah yang menjalankan latihan pada hari Isnin – Jumaat.

Kekerapan latihan amat memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak. Jika terlalu sedikit juga tidak bagus, jika terlalu kerap juga tidak bagus. Tetapi ia bergantung kepada tahap pemain yang dikendalikan. Sudah pasti pemain di akademi pro akan berlatih lebih kerap berbanding kelab-kelab lain. Apakah kekekarapan yang disarankan dalam pembangunan bola sepak?

Begitu juga dengan tempoh latihan. Setiap jurulatih harus tahu dan peka tentang tempoh latihan yang bersesuaian dengan tahap mahupun umur pemain. Struktur latihan perlu dirancang supaya latihan dapat memberikan impak maksima kepada setiap pemain. Ia perlu dikaitkan dengan 4 aspek utama fasa pembangunan iaitu fizikal, teknikal, psikologi dan sosiologi. Secara asas, struktur latihan perlu mempunyai sesi “warm-up”, teknikal, skil dan “small sided game”.

Apakah kadar kekerapan dan tempoh latihan yang selamat dan disarankan dalam pembangunan bola sepak?

Ia adalah soalan yang sering dibahaskan oleh jurulatih. Tetapi banyak kajian telah dilakukan dan menjadi tanggungjawab setiap jurulatih agar latihan mereka memberi kesan positif, selamat dan dalam masa yang sama mengelakkan kesan negatif.

Sebagai contoh, berikut adalah “safe workload” yang disarankan dari hasil kajian yang telah dijalankan oleh pakar sains sukan :

  1. Kategori 6-7 tahun : 45 minit
  2. Kategori 8-9 tahun : 45 – 60 minit
  3. Kategori 10-11 tahun : 60 – 75 minit

** tidak termasuk rehat dan taklimat.

Bagaimana pula dengan kekerapan latihan dalam seminggu? Adalah disarankan seperti berikut :

  1. Maksimum latihan seminggu : 3 kali
  2. Maksimum perlawanan seminggu : 2 kali

Perkara diatas perlu diberi perhatian serius oleh setiap kelab, jurulatih, pemain dan juga ibu bapa. Mengapa? Jelas sekali kita perlu utamakan kesihatan dan keselamatan pemain. Elakkan “overused injury”, “burnout” dan “fatigue”.

bersambung pada bahagian kedua…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *